Sunday, September 25, 2011

Warga Sentosa Court, Apakah Komen Anda ?

Krisis JMB: Menuntut penyelesaian yang adil dan telus!

September 25, 2011
SEPT 25 — Jika anda kebetulan berada di Cheras, apa kata luangkan masa sedikit untuk mengunjungi kawasan-kawasan perumahan sedia ada di sini. Manalah tahu jika ada antara anda yang berhasrat untuk membeli rumah.
Di sini, bandar-bandar baru tumbuh bagaikan cendawan di merata tempat. Lanskapnya pula dikelilingi dengan tumbuhan menghijau yang kaya dengan pelbagai spesis flora.

Konsep serta reka bentuk rumah yang didirikan mencakupi pelbagai bentuk daripada serendah-rendah rumah kos rendah kepada teres, banglo hinggalah pangsapuri.

Bagi penduduk-penduduk yang mengidamkan rumah impian, mungkin inilah tempatnya, pilihan untuk menghabiskan sisa-sisa hidup mereka.

Kejayaan untuk mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan sesebuah kawasan perumahan banyak bergantung kepada kemampuan Badan Pengurusan Bersama (JMB) untuk berfungsi sebagai sebuah unit.
Sebuah JMB yang baik ialah JMB yang sentiasa peka dan mendengar kepada permasalahan yang dihadapi oleh penduduk setempat. Sebuah JMB yang baik dan bertanggungjawab tidak akan sesekali melakukan sesuatu tanpa pengetahuan dan sokongan penduduk.

Dalam usaha untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada semua pihak, ada kalanya mahu tidak mahu agar sukar untuk memuaskan hati semua pihak. Malah usaha untuk memenuhi kehendak semua penduduk lebih sukar daripada menubuhkan sebuah jawatankuasa itu sendiri.

Tetapi apa yang paling mencabar sekali dalam konteks ini ialah untuk mencari dan menghimpunkan orang atau individu yang benar-benar komited kepada perjuangan untuk penduduk di sini. Yang datang untuk menawarkan diri sebagai calon pula terdiri daripada pelbagai latarbelakang, kaum, agama, dan perangai masing-masing.  Tidak ketinggalan juga, motif mereka yang menawarkan dirinya juga berbeza-beza.

Barangkali kepelbagaian inilah yang menyukarkan keberkesanan sesebuah JMB untuk berfungsi sebagai sebuah badan yang efektif. Apa yang dipaparkan dalam suratkhabar saban hari yang menunjukkan ketidakpuasan hati segelintir penduduk terhadap JMB di sana sini, merupakan pemandangan yang lumrah.

Amat menyedihkan perkara sedemikian berlaku. Barangkali untuk sesetengah individu, mereka tidak memahami semangat sebenar penubuhan JMB. Dalam fikirannya, mereka mungkin mengatakan apa kepentingan yang ada dalam JMB hinggakan mereka perlu menyumbang sesuatu. Ada pula yang akan mengatakan “undi saya tidak penting.” Tak kurang pula, terdapat individu tertentu yang hanya melihat sesuatu isu dari sudut yang sempit.

Sepanjang tiga tahun yang lalu, keharmonian dan semangat kekitaan dalam kalangan penduduk di pangsapuri yang penulis diami berada pada tahap yang terbaik, bahkan tidak keterlaluan untuk mengatakan ia merupakan teladan kepada pengurusan JMB yang lain. Segalanya bermula dengan begitu baik sekali. Tidak pula kelihatan tanda-tanda JMB di sini akan bergolak, jauh sekali berpecah kepada beberapa fraksi.

Bagaimanapun, kebimbangan itu kini menjadi kenyataan. JMB di kawasan tempat tinggal penulis kini tersenarai sebagai antara JMB yang turut ditimpa kemelut dalaman. Ia bukan satu pencapaian yang boleh dibanggakan tetapi tidaklah mengejutkan penulis. Bahkan penulis dari awal lagi menjangkakan trend ini akan berlaku.

Sedia maklum, golongan berkepentingan tidak pernah melepaskan peluang untuk mencari helah untuk meraih kuasa. Dalam erti kata lain, prinsip matlamat menghalalkan cara dipraktikkan. Ini bererti, perkara yang sebenarnya boleh diputarbelit menjadi palsu dan palsu pula dilihat sebagai benar.

Lebih buruk lagi, apabila kuasa jatuh ke tangan seseorang, mereka bebas melakukan apa sahaja termasuk memecat pekerja-pekerja yang dilihat sebagai ancaman kepada mereka. Inilah pemandangan biasa apabila kuasa penuh dimiliki oleh seseorang. Inilah juga senario biasa apabila seseorang itu kemaruk kuasa. Hinggakan suara hati dan pemilihan penduduk pada mesyuarat agung yang diadakan awal tahun ini di sini boleh disifatkan sebagai tidak sah.

Apabila suara hati dan pemilihan penduduk pun boleh ditolaknya ke tepi dan diisytiharkan tidak sah, maka apa perlu lagi untuk diadakan pemilihan di masa-masa akan datang. Lebih baik golongan ini membuat peraturan mereka sendiri dan melantik sesama sendiri antara mereka siapakah yang harus menerajui JMB selagi kepentingan mereka terjamin.

Tindakan untuk tidak memperakui keputusan pemilihan JMB yang lalu ternyata satu cubaan untuk menghina kewibawaan dan kebijaksanaan penduduk-penduduk yang keluar mengundi awal tahun ini.  Bagi kumpulan ini, apa yang dipilih oleh penduduk-penduduk pada pemilihan ketika itu adalah tidak betul.

Tidak betul kerana terdapat antara anggota kumpulan ini yang tewas pada pemilihan. Tidak betul kerana anggota-anggota yang sepatutnya menang pada pemilihan tidak dipilih untuk menjawat jawatan yang sepatutnya biarpun mereka akan menafikannya.

Apa yang berlaku ini mencetuskan satu “precedent” yang cukup bahaya dari aspek kestabilan sesebuah JMB itu. Apa tidaknya, mana-mana pemimpin yang dirasakan tidak sehaluan akan cuba dijatuhkannya dengan bermacam-macam cara.

Yang pastinya, mana-mana individu selepas ini mungkin akan berfikir dua kali sebelum mahu bertanding bagi merebut jawatan dalam JMB. Mereka mungkin memikirkan tidak berbaloi untuk meletakkan diri mereka dalam keadaan sedemikian dan hanya ikut sama sahaja. Justeru, apakah semuanya akan menjadi betul semula jika mereka dipilih kembali untuk menjawat jawatan dalam JMB? Apakah mereka sahaja yang layak untuk menerajui JMB ini?  Seharusnya, keputusan pemilihan AGM pada Mac 2011 lalu dihormati bukan sahaja kerana keputusannya bahkan juga kerana penyertaan majoriti penduduk yang hadir.  Penduduk-penduduk di sini telah pun bersuara dan menyatakan pendirian mereka – Maka apa lagi yang perlu dipertikaikan?

Aneh juga apabila tindakan mempertikaikan keputusan AGM 20 Mac 2011 hanya dibuat oleh kumpulan berkenaan empat bulan selepas pemilihan tersebut dilangsungkan. Mengapa tunggu sampai empat bulan? Seharusnya, kumpulan yang berkepentingan itu menyuarakan bantahan pada saat mesyuarat tersebut berlangsung. Tetapi mereka tidak berbuat demikian. Pendirian yang membisu selama empat bulan inilah yang mengundang lebih banyak persoalan daripada jawapan. Apakah yang terlintas dalam fikiran kumpulan ini selama empat bulan? Penulis serahkan kepada pembaca untuk membuat tafsirannya.
Dan dikhabarkan satu Mesyuarat Agung Luar Biasa akan diadakan oleh kumpulan tersebut untuk menyelesaikan krisis yang tercetus ini. Mereka percaya bahawa EGM ini merupakan medan terbaik untuk meleraikan segala permasalahan yang berbangkit.

Memang benar EGM menjadi medan terbaik untuk penyelesaian masalah namun pada masa yang sama, EGM tidak sepatutnya berlangsung kerana golongan yang mahukan EGM hanyalah segelintir sahaja. Lagipun, terdapat segelintir penduduk yang tidak dirujuk mengenai perkara ini.

Apa yang anda dengar di sini seolah-olah mirip kepada krisis politik yang berlaku dalam sesebuah parti politik. Segala tipu-muslihat, campur tangan pihak luar malah khidmat pihak tidak dikenali yang dirasakan hanya berlaku dalam parti politik turut berlaku di sini. Cumanya apa yang membezakan dalam kes ini dengan kes lain ialah ia dilakukan secara terbuka dan tanpa segan-silu.

Tertanya-tanya dalam diri penulis, apakah prinsip keadilan, ketelusan dan integriti sudah tidak wujud lagi? Jenis undang-undang apakah yang diguna pakai oleh kumpulan berkepentingan ini?  Apakah mereka ini lebih kebal daripada undang-undang? Jika undang-undang rimba yang digunapakai mereka, maka hak dan kebebasan penduduk-penduduk lambat-laun akan terhakis jua.

Ini bukan berkisar kepada soal siapa yang harus menerajui JMB. Tetapi ia menjurus kepada cara atau pendekatan yang digunakan oleh kumpulan berkepentingan tadi dalam mengambil alih kembali JMB secara “default.”  Meminta campur tangan pihak luar yang tidak dikenali bukanlah penyelesaian yang bijak. Disebabkan krisis tersebut dicetuskan oleh kumpulan berkepentingan tadi, ia seharusnya diselesaikan oleh penduduk-penduduk sendiri.

Apa yang diharapkan sekarang ialah penduduk-penduduk di pangsapuri berkenaan boleh membuka mata dan melihat sendiri apakah sebenarnya yang sedang berlaku. Kemudian, barulah buat penilaian terhadap siapa yang harus menerajui JMB itu. Buatlah pilihan dengan bijak.
Sesungguhnya, kebenaran dan keadilan perlu ditegakkan agar perkara sedemikian tidak akan berulang di kemudian hari. Tiada siapa yang untung jika semua penduduk di sini berpecah-belah.

Bagaimana pula dengan JMB di tempat tinggal anda?

* Pandangan di atas adalah pandangan peribadi penulis.

Extracted From the Malaysian Insider  25th September 2011 - All Publishing Copyright belongs to Malaysian Insider - This article is reproduced in this blog as it concerns public issue. Thank you very much. GOD bless.